Salam & hi all!
Sedikit perkongsian sebelum menutup mata. Semoga perkongsian kali ini bermanfaat kepada semua pembaca. InsyaALLAH.
Hidup ini sama seperti melalui jalanan menuju ke destinasi yang
ditetapkan. Sesekali kita tersesat dalam mencari destinasi sebenar.
Kadang jalan yang dilalui penuh liku dan simpangnya. Sesekali kita akan
bertemu dengan lubang yang besar. Paling tidak jambatan yang kita mahu
kita seberangi roboh sedangkan destinasinya sudah semakin hampir. Tekanan yang dihadapi menjadikan kita runsing.
Islam yang indah dengan isinya memberikan ubat yang mujarab bagi
menghadapi tekanan yang datang dalam kehidupan. Lantas ubat ini
menjadikan kita lebih tenang menghadapi segala ujian dalam hidup. Hati
akan lebih tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa juga yang
dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai
dengan niat yang ikhlas semata-mata bagi mendapatkan keredaan Allah.
Tip menghadapi Stres
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan bertujuan bagi mengurangkan tekanan:
01.Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan diri mengambil wuduk
sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Tugas yang susah akan menjadi
senang dan mudah diselesaikan.
02.Al-Quran jadikan amalan
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca
Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca
Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti
ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai
teman paling akrab pada sepanjang waktu.
03.Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan
amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat.
Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara
pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada
sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh
ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
04.Selalu berdoa kepada Allah
Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam,
pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah.
Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang
benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki
tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang
bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu
di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
05.Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan
dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah
bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh itu, kita
mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika
terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu
ada hikmah di sebalik kejadian itu.
06.Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk
otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila
kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan
seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita
meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan
juga akan bertambah erat dan kukuh.
07.Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan
salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk
mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat.
Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan
penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing
manis.
08.Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila
kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah
untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu
bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh
dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting
ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup
dengan lebih ceria.
09.Cintai diri sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain".
Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa
kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain.
Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu
dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu
memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
InsyaALLAH, semoga dapat kita manfaatkan dalam kehidupan kita.. :)
when the goings get TOUGH, only the TOUGH gets going!